Fragmen
Album studio oleh Siti Nurhaliza
Dikeluarkan pada30 Jun 2014 (Fizikal)[1]
14 Julai 2014 (Digital)[2] [nota 1]
Dirakam padaDisember 2013 - Jun 2014
GenrePop, R&B
Masa35:11
SyarikatSiti Nurhaliza Productions
Universal Music Sdn Bhd
PenerbitSiti Nurhaliza (Eksekutif), Mujahid Abdul Wahab (Eksekutif), Aubrey Suwito, Faizal Tahir, Mike Chan, Ade Govinda
Kronologi Siti Nurhaliza
All Your Love
(2011)
Fragmen
(2014)
SimetriSiti
(2017)
Single daripada album Fragmen
  1. "Lebih Indah"
    Dikeluarkan pada: 31 Ogos 2013
  2. "Jaga Dia Untukku"
    Dikeluarkan pada: 4 Mei 2014
  3. "Terbaik Bagimu"
    Dikeluarkan pada: 15 Oktober 2014
  4. "Seluruh Cinta"
    Dikeluarkan pada: 21 Oktober 2014

Fragmen (Tulisan Jawi: فراڬمن) ialah album studio ke-16 dan album bahasa Melayu ke-15 oleh penyanyi, Datuk Siti Nurhaliza. Album ini dilancarkan pada 30 Jun 2014 secara fizikal oleh Universal Music Malaysia dengan kerjasama syarikat milknya, Siti Nurhaliza Productions. Secara liriknya, kebanyakan lagu dalam album ini adalah berdasarkan kehidupan dan pengalamannya. Pembikinan album ini telah menyaksikan kerjasama antara penggubah, penulis lirik dan penerbit dari Malaysia dan Indonesia.

Fragmen mempertaruhkan empat single untuk pasaran Malaysia, "Lebih Indah", "Jaga Dia Untukku", "Terbaik Bagimu" dan "Seluruh Cinta". Pada 2014, “Lebih Indah” menerima dua pencalonan di Anugerah Muzik Dunia 2014 menerusi kategori Lagu Terbaik Dunia dan Video Muzik Terbaik Dunia. Pada 17 Oktober 2014, “Lebih Indah” melayakkan Siti memenangi kategori Artis Terbaik (Wanita) dan Lagu Terbaik (Malaysia) di Anugerah Planet Muzik 2014. Pada 21 Oktober, Fragmen dan single-singlenya telah dicalonkan dalam enam kategori berlainan di Anugerah Industri Muzik. Pada 6 Disember, “Lebih Indah” dan Fragmen juga melayakkan beliau memenangi kategori Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Wanita) dan Album Terbaik di anugerah yang sama. Kemenangannya untuk “Lebih Indah” menandakan kali ke-12 Siti memenangi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita).[4]

Album ini telah dilancarkan secara rasminya di Indonesia pada 21 Oktober 2014. Runut tambahan, sebuah lagu duet bersama Cakra Khan, “Seluruh Cinta” telah dilancarkan sebagai single pertama album ini untuk pasaran Indonesia pada hari yang sama.

Sehingga 27 Ogos 2014, album ini telah menerima pengiktirafan Platinum selepas dipasarkan sebanyak 10,000 salinan. Lebih kurang 3 bulan kemudian, Fragmen dianggarkan telah dijual sekitar 50,000 salinan.

Latar belakang dan rakaman

Fragmen menyaksikan buat pertama kalinya Siti Nurhaliza bekerjasama dengan penyanyi dan komposer Singapura dan Malaysia seperti Awi Rafael (kiri) dan Faizal Tahir (kanan).[5] Fragmen menyaksikan buat pertama kalinya Siti Nurhaliza bekerjasama dengan penyanyi dan komposer Singapura dan Malaysia seperti Awi Rafael (kiri) dan Faizal Tahir (kanan).[5]
Fragmen menyaksikan buat pertama kalinya Siti Nurhaliza bekerjasama dengan penyanyi dan komposer Singapura dan Malaysia seperti Awi Rafael (kiri) dan Faizal Tahir (kanan).[5]

Fragmen ialah album pertama Siti Nurhaliza hasil kerjasama antara syarikat miliknya, Siti Nurhaliza Productions dan Universal Music Malaysia sejak Julai 2011.[6] Penerbitan album ini bermula pada Oktober 2012 dengan pelancaran single "Galau" pada 11 Januari 2013.[7] Walaupun dilancarkan secara digital pada Januari 2013, Galau dipersembahkan semasa konsert Dato' Siti Nurhaliza - Live in Kuantan pada November 2012.[8] Bagaimanapun, apabila Fragmen dilancarkan pada 30 Jun 2014,[1] "Galau" telah digugurkan daripada senarai runut terakhir. Menurut pengurusannya, pelancaran "Galau" hanya untuk tujuan promosi untuk memperkenalkan usaha kerjasama antara Siti Nurhaliza Productions (SNP) dan Universal Music Malaysia kepada umum dan tidak sesuai dimuatkan dalam album ini kerana kelainan hala tuju muzik.[9]

Pada 15 Mei, [10] single pertama album ini, “Lebih Indah” telah dipersembahkan semasa rakaman rancangan khas 90 minit sempena Hari Raya Aidilfitri bersama TV2, Konsert Sanggar Lebaran Dato’ Siti Nurhaliza.[11] Rancangan ini disiarkan selepas itu, pada 8 Ogos.[12] Dirakamkan pada 2013, lagu ini dikatakan mencerminkan emosinya apabila menjaga suaminya yang terlibat dalam kemalangan motosikal di New Zealand pada Disember 2012.[13]

Proses untuk mengumpulkan lagu mengambil masa tiga bulan. Saya dapat lebih kurang dalam 40 buah lagu. Selepas semua lagu menjalani proses penilaian bersama dengan saya, Universal Music dan pihak Siti Nurhaliza Productions sendiri, sembilan lagu dipilih untuk dimuatkan dalam ‘Fragmen’.

— Siti Nurhaliza semasa merakamkan album "Fragmen".[14]

Pada bulan Julai, Pengarah A&R Universal Music Malaysia, Mujahid Abd Wahab mendedahkan bahawa kos penerbitan keseluruhan yang telah dibelanjakan Universal untuk album ini mencecah hampir RM 200,000.[15] Menurut Mujahid, "Kerjasama yang dijalin Universal Music Malaysia bersama Siti tidak melihat dari sudut perolehan semata-mata sebaliknya ia lebih daripada itu. Pihak Universal Music Malaysia sanggup mengeluarkan belanja besar untuk pembikinan album terbaru Siti memandangkan dia [i]alah aset negara. Sebagai penyanyi terbaik, sudah tentu albumnya harus setaraf dengan statusnya."[16] RM 200,000 dikatakan hanya meliputi kos pengeluaran album sahaja.[17]

Dalam proses penciptaan album, album itu menyaksikan kerjasama pemuzik, penggubah dan juruteknik dari pelbagai negara. Proses 'mastering' album ini dilakukan oleh Sterling Sound Studio di New York.[17] Ade Govinda, penggubah muzik dari Indonesia yang menyumbang "Terbaik Bagimu", juga salah satu penerbit untuk album.[18]

Daripada sembilan lagu yang dimuatkan dalam album ini, tiga daripadanya ("Mula dan Akhir", "Sanubari" dan "Membunuh Benci")[18] [nota 2] yang dipilih daripada kerjasama beliau dengan Bengkel Cipta Ekspres Badan Pelindung Hak Cipta Karyawan Malaysia pada 25 April 2013. [14] Semasa bengkel itu diadakan, 10 pencipta lagu dan penulis lirik 10 yang dipilih diberi tiga hari untuk mencipta 10 lagu, sebelum mereka dibentangkan kepada Siti agar beliau menilai kesesuaian lagu-lagu tersebut untuk dimuatkan dalam albumnya.[14] Bengkel ini menandakan kali kedua Siti bekerjasama dengan MACP untuk mencari bahan-bahan baru untuk album sejak album tradisional terakhir, Lentera Timur.[14]

Asalnya dimuatkan sebagai runut kesepuluh untuk album ini, "Seluruh Cinta", duet dengan penyanyi Indonesia, Cakra Khan tidak dimasukkan dalam suntingan akhir album. Lagu yang dirakamkan dalam tempoh tiga jam pada 29 Mei 2014 di My Music, Jakarta Selatan, Indonesia [20][21]kemudian didedahkan oleh pengurusan Siti sebagai penjadian sebuah projek yang berlainan, walaupun kemungkinan kemasukannya sebenarnya dipertimbangkan. Lagu ini akhirnya dimasukkan ke dalam versi Indonesia bagi album Fragmen apabila ia dilancarkan dan dikeluarkan secara rasmi pada 21 Oktober 2014.[22]

Karya seni dan tajuk

Siti Nurhaliza pada 13 Januari 2013, dua hari selepas ulang tahun kelahirannya ke-34 pada 11 Januari, apabila membuat keputusan untuk berhijab sepenuhnya,[23] imej baru yang mencerminkan karya seni dan sisipan album Fragmen.[24]

Dirakamkan oleh Bustamam Mokhtar,[25] kulit album menggambarkan Siti menggayakan busana hitam. Beliau menjelaskan busana hitam pilihan beliau sebagai "Selain hasil perbincangan bersama pihak yang terbabit dalam penghasilan kulit album, Siti memilih hitam kerana ia warna kesukaan Siti dan amat sesuai dengan gaya elegan yang Siti kehendaki." [5] Album ini juga menandakan kulit album pertama beliau di mana beliau mengenakan tudung.[24] Beliau menjelaskan:"Ini kali pertama kulit album yang merakam saya berhijab. Walaupun berhijab, saya inginkan kelainan dan dalam masa yang sama imej yang ditampilkan itu sesuai dengan elemen pop yang ada dalam album ini. Sebab itu, saya sengaja memilih warna hitam sepenuhnya untuk pakaian kerana hitam nampak elegan." [24]

Dipilih oleh kakak iparnya, Rozi Abdul Razak,[24] menurut Siti, tajuk album ini dikatakan "menggambarkan sebahagian daripada kisah, cerita dan peristiwa hidup sehari-hari."[5]

Pelancaran dan promosi

Sebelum pelancaran rasminya pada 21 Julai, album itu dikeluarkan dalam bentuk fizikal dan digital pada dua tarikh yang berasingan. Salinan fizikal album ini dikeluarkan pada 30 Jun,[1] manakala versi digital album ini dikeluarkan pada 14 Julai 2013.[2] Album beliau telah dilancarkan secara rasmi di Le Méridien, Kuala Lumpur pada 21 Julai.[26] Selain pelbagai persembahan lagu-lagu beliau untuk beberapa kali, beliau juga mengadakan beberapa sesi perjumpaan untuk mempromosikan Fragmen untuk kedua-dua peminat Malaysia dan Singapura pada 24 Ogos (Pavilion Kuala Lumpur),[27] 25 September (Universiti Teknologi Malaysia)[28] dan 17 Oktober 2014 (Tampines Mall),[29]Singapura.

Pada 21 Oktober 2014, versi Indonesia album Fragmen telah dilancarkan secara rasmi dan dikeluarkan di Artotel, Jakarta Tengah dengan runut tambahan, duet dengan Cakra Khan, "Seluruh Cinta".[22] Semasa lawatan beliau untuk mempromosikan album beliau, Siti muncul beberapa hari berturut-turut dalam pelbagai program berasaskan hiburan Indonesia seperti program-program radio dan saluran televisyen termasuk "Persembahan Cinta 23" di (MNCTV),[30] "DahSyat"[31] dan "Superstars"[32] di RCTI, "Inbox"[33] di SCTV, "Ada Ada Aja"[34] di Global TV dan "Sarah Sechan" di NET..[35]

Persembahan secara langsung

"Lebih Indah" ialah single rasmi daripada album ini yang pertama dilancarkan sebagai pelancaran digital di ITunes pada 31 Ogos 2013.[36] Sebelum pelancaran rasminya, lagu ini dipersembahkan semasa rakaman rancangan televisyen khas sempena Hari Raya Aidilfitri 2013, Konsert Sanggar Lebaran Dato’ Siti Nurhaliza pada 15 Mei. [10][11] Kemudian, ia dipersembahkan sekali lagi semasa konsert Siti Nurhaliza dalam Simfoni pada 5-7 Julai di Dewan Filharmonik Petronas. [37] Pada bulan Ogos, sekali lagi sempena Aidilfitri, beliau menyanyikan lagu Lebih Indah versi ‘unplugged’ dalam satu rancangan televisyen khas sempena Hari Raya, “Stailista Unplugged” yang bersiaran pada 8 Ogos di TV9. [38] Pada 5 Disember, beliau menyanyikan lagu ini semasa Anugerah Televisyen Asia 2013 di Resorts World Sentosa, Singapura. [39] Pada 14 Disember, sebagai artis yang mengadakan persembahan, beliau memperdendangkan Lebih Indah sempena Anugerah Industri Muzik ke-20.[40] Seminggu kemudian, pada 20 dan 21 Disember, beliau menyanyikan lagu ini selama dua hari berturut-turut semasa konsert amal, “Konsert Destini” yang dianjurkan oleh Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).[41] Pada 4 Januari 2014, [42] sebagai salah seorang artis semasa pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2014, beliau menyanyikan lagunya diikuti oleh sebuah lagu duet bersama Hafiz Suip dengan lagu bertajuk “Muara Hati”. Lagu ini juga dipersembahkan semasa persembahan Minggu Setiausaha selama 2 hari, “Lebih Indah Bersama Siti Nurhaliza” pada 15 dan 16 April.[43]

Jaga Dia Untukku” ialah single kedua album Fragmen yang dilancarkan pada 4 Mei 2014. [44][45][nota 3] Lagu ini dipersembahkan semasa konsert amal beliau selama dua hari, Dato’ Siti Nurhaliza Live In Concert - Where The Heart Is di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 8 dan 9 Februari.[46] Untuk pelancaran di radio, Hot FM menjadi stesen radio pertama di Malaysia yang menyiarkan lagu ini secara eksklusif untuk pendengar Malaysia pada 2 Mei. [47][48]Ia juga dipersembahkan semasa Anugerah Planet Muzik 2014. [49]

Terbaik Bagimu” ialah single ketiga album ini yang telah dipersembahkan semasa konsert Dato’ Siti Nurhaliza Live In Singapore pada 12 April 2014. [50] Ia juga dipersembahkan beberapa kali semasa lawatannya ke Indonesia untuk mempromosikan album Fragmen versi Indonesia termasuk - “Persembahan Cinta 23” (MNCTV) pada 12 Oktober 2014,[30] “dahSyat” [31] dan “Superstars” di RCTI[32] (21 Oktober), “Inbox” di SCTV (22 Oktober)[33] dan “Sarah Sechan” di NET..[35]

Seluruh Cinta” telah dipersembahkan secara langsung oleh Siti dan Cakra semasa rancangan khas MNCTV sempena ulang tahunnya ke-23, “Persembahan Cinta 23” pada 20 Oktober 2014.[30][51] Lagu yang sama dipersembahkan selama beberapa hari berturut-turut di beberapa rancangan hiburan dan saluran televisyen Indonesia, termasuk “dahSyat” di RCTI (21 Oktober) [31][51] dan “Ada Ada Aja” di Global TV (22 Oktober).[51][34] Seluruh Cinta juga dipersembahkan secara langsung semasa rakaman rancangan bual bicara satu jam oleh Sarah Sechan di saluran NET. yang bersiaran pada 1 November 2014.[35][52]

Single