Kampung Titingan
Kampung
Pemandangan indah di Kampung Titingan pada waktu pagi.
Pemandangan indah di Kampung Titingan pada waktu pagi.
Bendera Kampung Titingan
Flag
Mohor rasmi Kampung Titingan
Mohor
Panggilan: 
Icebox
Moto: 
"Bersekutu Bertambah Mutu"
Lagu kebangsaan: 

Negaraku
Peta Malaysia.
Peta Malaysia.
Kampung Titingan is located in Malaysia
Kampung Titingan
Kampung Titingan
Peta Malaysia.
Koordinat: 4°14′26.0574″N 117°54′15.093″E / 4.240571500°N 117.90419250°E / 4.240571500; 117.90419250
NegaraMalaysia Malaysia
NegeriSabah
Daerah Tawau
KampungKampung Titingan
Kerajaan
 • JenisRaja berperlembagaan elektif dan demokrasi berparlimen
 • Yang di-Pertuan AgongSultan Muhammad V
 • Perdana MenteriTun Dr. Mahathir bin Mohamad
 • Timbalan Perdana MenteriDatuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
 • Ketua KampungMahamod bin Sakti[1]
Penduduk
( 1997 )[2]
 • Jumlah21,000
 • Celik huruf
( lelaki, perempuan)
 • Pecahan menurut jantina
% lelaki dan % perempuan
Zon waktuGMT
 • Musim panas (DST)GMT
Poskod
91000
Kod kawasan089
Lokasi Kampung Titingan di Peta Google

Kampung Titingan (Tulisan Jawi: كامڤوڠ تيتيڠن) ialah sebuah kampung yang terletak di Tawau, Sabah. Kampung ini turut dikenali sebagai Kampung Ice Box atau Ice Box sahaja. Oleh kerana keluasannya serta populasi yang ramai di samping kebanyakan tanah di kampung ini ialah milik tanah kerajaan, kampung ini turut dilabelkan sebagai sebuah setinggan,[3][4] malah merupakan antara setinggan yang paling terkenal dan terbesar di Tawau.[5][6] Jumlah pendatang asing tanpa izin di kampung ini adalah ramai, kebanyakannya berasal dari Filipina[7] dan ada juga yang berasal dari Indonesia. Perkara ini menjadi salah satu faktor kes jenayah serta kegiatan gangsterisme dari kampung ini adalah tinggi.[8] Kampung ini juga pernah dilabel sebagai salah satu kawasan hitam di Tawau.[8]

Pada 7 Mac 2010, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman mengumumkan bahawa kampung ini akan diubah wajah menjadi sebuah bandar dan akan dikenali sebagai Bandar Baru Titingan.[9]

Sejarah

Kampung Titingan merupakan antara kampung terawal yang didirikan di Tawau.[10][11] Kampung ini turut dipanggil Kampung Ice-Box kerana pada 1970-an, banyak peti sejuk yang sudah tidak berfungsi diletakkan di tepi jalan berhampiran dengan sebuah kilang ais dalam kawasan kampung ini.[12] Selain itu, terdapat juga sebuah peti sejuk besar di kilang tersebut untuk memproses dan membuat ais batu. Nama "Titingan" diambil sempena nama seorang pemimpin di Sabah iaitu Datuk Abu Bakar Titingan, yang dilahirkan di kampung ini. Abu Bakar Titingan antara orang yang mempertahankan kampung ini daripada dihapuskan. Anaknya, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan kini merupakan wakil rakyat bagi kampung ini yang terletak di kawasan P190 Apas.[13]

Pada tahun 1980-an, daerah Tawau mengalami pembangunan pertanian yang pesat, lantas ramai belia dari kampung ini telah meninggalkan kampung ini untuk bekerja di ladang-ladang.[12] Pendatang asing pula datang ke Kampung Titingan dan membuat rumah di kawasan-kawasan kosong. Keluasan kampung ini semakin meningkat sehingga menjadi antara kawasan setinggan yang paling terkenal di Sabah pada tahun 1990-an.[12]

Kebakaran

Telah banyak kebakaran yang telah berlaku di Kampung Titingan dan dua daripadanya ialah kebakaran besar. Pada 4 September 1989, 1,060 buah rumah musnah dan 5,766 orang penduduk hilang tempat tinggal dalam sebuah kebakaran yang terbesar pernah dicatatkan dalam sejarah Sabah.[14] Sedekad selepas itu, sebuah lagi kebakaran besar telah berlaku pada tahun 1999 telah mendapat liputan daripada saluran-saluran televisyen di Malaysia. Dalam kebakaran tersebut, sebanyak 1,000 orang penduduk hilang tempat tinggal.[15] Pada bulan 31 Januari 2011, sebuah kebakaran berlaku di Blok 6 kampung ini yang melibatkan 50 buah rumah dan 300 orang penduduk.[16][17] Kawasan kebakaran terbabit telah menjadi kawasan larangan untuk mendirikan rumah.[18] Namun pada penggal kedua 2011, penduduk mendapat kebenaran mendirikan semula rumah dengan pembiayaan sendiri di atas kawasan bekas kebakaran dalam susunan yang lebih teratur.[19] Pada 8 Mac tahun yang sama, sebuah lagi kebakaran berlaku di Blok 9 yang melibatkan lebih 500 penduduk serta kira-kira 50 buah rumah telah musnah.[20] Tiada kemalangan jiwa di dalam kebakaran tersebut.

Pada 15 Januari 2012, sebuah kebakaran maut telah berlaku di kampung ini yang mengakibatkan kematian dua beradik, masing-masing berusia 19 dan 6 tahun. Kebakaran yang memusnahkan tujuh buah rumah ini menyebabkan 74 orang daripada 23 keluarga tinggal sehelai sepinggang.[21]

Tarikh Bilangan rumah musnah Mangsa (orang) Kematian (orang)
4 September 1989 1,060[14] 5,766 N/A
2 Ogos 1999 N/A 1,000[15] N/A
20 September 2010 51[22] 365 N/A
31 Januari 2011 50[16] 300 N/A
8 Mac 2011 50[20], 60[23] 500 N/A
15 Januari 2012 7[21] 74 2
23 Januari 2013 6[24] N/A N/A

Perobohan

Pada bulan Februari tahun 2002, kerajaan Sabah telah melakukan operasi merobohkan rumah-rumah milik penduduk kampung yang didirikan di atas tanah kerajaan di kawasan Kampung Titingan Pasir dalam Operasi Nyah II Bersepadu.[25][12] Berikutan dengan ini, kebanyakan pendatang tanpa izin yang kehilangan rumah telah berpindah ke tempat lain dan lantas kegiatan gengsterisme berkurang. Walau bagaimanapun, kegiatan jenayah seperti perniagaan syabu (dikenali oleh penduduk setempat sebagai batu), perjudian haram (terutama sekali permainan judi serupa toto iaitu wahui), kecurian dan sebagainya masih berlaku. Sebuah kawasan perumahan pangsa telah dibina di atas tapak kawasan yang dirobohkan dan diberi nama Sri Titingan.

Pada 6 November 2013, Majlis Perbandaran Tawau mula menjalankan Operasi Roboh di mana 44 buah rumah di sekitar Tawau akan dirobohkan, 11 daripadanya ialah rumah-rumah di Kampung Titingan.[26]

Geografi

Pemandangan ketika air surut.

Kampung Titingan terletak lebih kurang 2.5 km dari Bandar Tawau dengan keluasan melebihi 7 hektar (17 ekar).[27][11] Ia terletak di persisir laut yang dulunya merupakan kawasan paya bakau dan terletak berhampiran dengan Sungai Tawau.[28]

Kampung ini dibahagikan kepada tiga iaitu Kampung Titingan Pasir, Kampung Titingan Tengah serta Kampung Titingan Hujung. Setiap bahagian kampung terdiri daripada lorong-lorong kampung dan setiap lorong tersebut terdiri daripada beberapa blok.

Bahagian yang terdekat sekali dengan Pusat Bandar Tawau ialah Kampung Titingan Pasir dan yang terletak paling hujung sekali ialah Kampung Titingan Hujung. Kampung Titingan Pasir telah dirobohkan dan sebuah kawasan kediaman kos rendah telah dibangunkan di atas tapaknya.

Demografi

Statistik 1997 menyatakan bahawa terdapat lebih kurang 21,000 orang penduduk yang menetap di Kampung Titingan, sama ada secara sah atau tidak, dengan 6,000 daripadanya merupakan pengundi sah yang kebanyakannya bumiputera berketurunan Melayu.[2] Bilangan rumah berdaftar di kampung ini pula ialah sebanyak 800 buah unit dengan 80% daripadanya ialah bumiputra.

Suku-suku kaum yang menetap di kampung ini termasuklah orang Bugis, Bajau, dan Banjar.

Ekonomi

Ekonomi utama Kampung Titingan ialah nelayan. Antara aktiviti nelayan yang dilakukan oleh penduduknya ialah menyiut udang geragau, memukat dan memancing. Pada suatu ketika dahulu, kebanyakan rumah dikampung ini memiliki bot sendiri untuk digunakan untuk memukat ikan dipersisir pantainya, namun kini jumlahnya semakin berkurang kerana kekurangan perintis.[12]

Kebanyakan generasi muda kampung ini berhijrah ketempat lain untuk bekerja selepas tamat persekolahan atau pengajian.

Kemudahan

Riadah

Kampung Titingan tidak disediakan kemudahan riadah yang banyak. Kampung ini disediakan dengan cuma satu gelanggang serba guna. Gelanggang ini terletak di hadapan Tabika Perpaduan A dan sering digunakan untuk aktiviti sepak takraw. Gelanggang ini juga menjadi tempat majlis serta acara seperti perkahwinan, pertandingan malah majlis formal diadakan.

Walaupun kekurangan kemudahan riadah, penduduk kampung ini masih boleh menikmati kemudahan yang disediakan di taman perumahan berdekatan yang terletak di seberang Sungai Tawau.[29] Kerana kedudukan yang begitu dekat, penduduk Kampung Titingan hanya perlu berjalan kaki ke sana. Disamping itu pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mentadbir Kampung Titingan, yakni Majlis Perbandaran Tawau, juga merangka pelan untuk menambah bilangan kemudahan riadah di semua kawasan perbandaran Tawau dalam rancangan pembangunannya.[30]

Kemudahan awam

Bagi memudahkan penduduk Kampung Titingan untuk pergi ke bandar Tawau, lebih kurang 20 buah bas daripada syarikat-syarikat pengangkutan telah disediakan di kampung ini. Selain itu, kemudahan teksi turut disediakan bagi mempercepatkan perjalanan penduduk kampung. Bukan itu sahaja, kampung ini juga diberikan kemudahan Internet wayarles 1Malaysia dan telah diiktiraf sebagai sebuah Kampung Tanpa Wayar 1Malaysia oleh kerajaan pada tahun 2011.[perlu rujukan]

Keagamaan

Di kampung ini cuma terdapat satu masjid utama yang terletak dihadapan kilang Kalimantan Fishery SDN BHD. Masjid ini dinamakan Masjid Babul Khair.[31]

Pendidikan

Kampung ini mempunyai beberapa sekolah serta tabika terdekat. Berikut ialah senarai mengikut jenis: