Perjumpaan modul angkasa Apollo dan Soyuz pada 15 Julai 1975 menandakan berakhirnya Perlumbaan Angkasa

Perlumbaan Angkasa merujuk kepada pertandingan antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet, secara kasarnya di antara 1957 hingga 1975, membabitkan usaha selari oleh negara tersebut untuk menjelajah ruang angkasa dengan satelit, menghantar manusia ke angkasa, dan meletakkan manusia di bulan.

Walaupun permulaannya bermula pada teknologi roket awal dalam ketegangan antarabangsa selepas Perang Dunia II, Perlumbaan Angkasa bermula dengan pelancaran Sputnik 1 oleh Kesatuan Soviet pada 4 Oktober 1957. Istilah tersebut bermula sebagai analogi kepada perlumbaan senjata. Perlumbaan Angkasa menjadi sebahagian kebudayaan dan persaingan teknologi penting antara Soviet dan AS semasa Perang Dingin. Teknologi angkasa menjadi arena lebih penting dalam konflik ini, disebabkan isu kegunaan ketenteraan dan kelebihan psikologi bagi meningkatkan moral.

Roket Titan II melancarkan kapal angkasa AS dari 1960-an sehingga 1980-an

Latar sejarah

Pengaruh ketenteraan awal

Roket telah menarik minat pakar sains dan amatur selama 2,100 tahun. Negara China telah menggunakan roket sebagai senjata seawal abad ke-11. Pakar sains Kesatuan Soviet, Konstantin Tsiolkovsky mengemukakan teori pada 1880-an bahawa roket bahan api cecair pelbagai tahap mungkin mampu mencapai angkasa, tetapi hanya pada 1926 seorang saintis Amerika Robert Goddard mereka roket bahan api cecair yang praktikal.

Goddard melakukan kajiannya berkenaan roket secara tersembunyi, kerana masyarakat saintifik, orang awam, malah juga The New York Times melemparkan tohmahan terhadapnya. Ia memerlukan peperangan untuk menonjolkan roket kepada kemahsyuran. Ini merupakan petanda masa depan, kerana sebarang "perlumbaan angkasa" akan dikaitkan dengan cita-cita ketenteraan negara terbabit, walaupun cirinya lebih kepada sains dan "retorik kepada keamanan".

Sumbangan Jerman

Replika V-2 Jerman

Pada pertengahan 1920-an, para saintis Jerman mula menguji roket yang menggunakan bahan api cecair yang berupaya mencapai jarak dan altitud tinggi. Pada tahun 1932, Reichswehr, sebelum Wehrmacht, tertarik dengan roket bagi pengeboman artileri jarak jauh. Wernher von Braun, seorang saintis roket yang bersemangat, terbabit dalam usaha tersebut dan memajukan senjata bagi kegunaan Jerman Nazi dalam Perang Dunia II.

Roket A-4 Jerman, dilancarkan pada tahun 1942, merupakan peluncur/prototaip pertama mencecah angkasa. Pada tahun 1943, Jerman mula menghasilkan penggantinya, roket V-2, dengan jarak 300 km (185 batu) dan membawa 1000 kg (2200 paun) kepala peledak. Wehrmacht melancarkan beribu-ribu V-2 ke pihak Berikat, menyebabkan kerosakan besar dan kehilangan nyawa. Walau bagaimanapun, banyak juga pekerja paksa yang terbunuh dalam penghasilan roket ini.

Selepas perang, tentera Soviet, British, dan AS dan kakitangan saintifik berlumba untuk merampas teknologi dan kakitangan terlatih dari loji program roket Jerman di Peenemünde. USSR dan Britain mendapat sedikit kejayaan, tetapi Amerika Syarikat paling beruntung, mengambil sebahagian besar pakar sains Jerman; antara mereka merupakan ahli parti Nazi, termasuk von Braun – dari Jerman ke Amerika Syarikat sebagai sebahagian dari Operasi Klip Kertas (Operation Paperclip). Di sana para saintis mengubah suai roket bertujuan untuk menentang Britain bagi kegunaan lain.

Saintis roket pasca-perang mula memikirkan soal roket untuk mengkaji altitud tinggi (menerusi radio-telemetri tentang suhu dan tekanan atmosfera), sinar kosmos, dan lain-lain. Usaha tersebut berterusan bawah pimpinan von Braun.

Asal Perang Dingin Perlumbaan Angkasa

Selepas Perang Dunia II Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet terbabit dalam Perang Dingin yang dipenuhi dengan intipan dan propaganda. Penerokaan angkasa dan teknologi satelit boleh digunakan dalam Perang Dingin oleh kedua pihak. Satelit boleh digunakan bagi mengintip negara lain, sementara kejayaan meneroka-angkasa menjadi propaganda bagi menonjolkan kelebihan saintifik dan potensi ketenteraan sesebuah negara. Roket yang sama menghantar manusia ke orbit atau menghentam tempat tertentu di bulan mampu menghantar senjata nuklear ke bandar musuh yang khusus. Kebanyakan kemajuan teknologi yang diperlukan bagi pengembaraan angkasa boleh degunakan dengan baik bagi roket semasa perang seperti Peluru berpandu balistik antara benua (ICBM). Bersama aspek lain dalam perlumbaan senjata, kejayaan di angkasa kelihatannya menjadi petunjuk bagi kelicikan ekonomi dan teknologi, menunjukkan kelebihan ideologi sesebuah negara. Penyelidikan angkasa mempunyai teknologi dwi-kegunaan: ia boleh digunakan bagi tujuan keamanan, tetapi juga menyumbang kepada matlamat ketenteraan.

Kedua kuasa besar berlumba untuk mendapat kelebihan dalam penyelidikan angkasa, sama-sama tidak tahu siapa yang akan berjaya. Asas bagi perlumbaan angkasa telah ada hanya menunggukan picu dipetik sahaja.

Satelit buatan memulakan "perlumbaan"

Sputnik

Sputnik 1 dengan berat tidak lebih 90 kg dan berjaya mengelilingi Bumi lebih dua bulan

Pada 4 Oktober 1957, Soviet berjaya melancarkan Sputnik 1, satelit buatan pertama sampai ke orbit, dan mencetuskan Perlumbaan Angkasa. Pelancaran ini merupakan tamparan yang hebat kepada AS kerana Soviet mengalahkan AS dalam penerokaan angkasa lepas walaupun negara ini jauh lebih miskin dengan memiliki teknologi terkebelakang berbanding AS. Disebabkan kesan ketenteraan dan ekonomi, Sputnik menyebabkan kebimbangan dan memulakan perdebatan politik di Amerika Syarikat. Sebelum Sputnik, penduduk awam Amerika menganggap AS mempunyai kelebihan dalam semua bidang teknologi. Rakan sejawatan Von Braun di Kesatuan Soviet, Sergei Korolev, ketua jurutera yang merekacipta roket R-7 yang menghantar Sputnik ke orbit, kemudiannya akan mereka N-1, untuk melancarkan angkasawan ke bulan. Sebagai tindak balas kepada Sputnik, AS berusaha bersungguh-sungguh bagi mengembalikan kelebihan teknologinya, termasuk mengubah kurikulum persekolahan dengan harapan akan menghasilkan lebih ramai Von Braun dan Korolev. Reaksi ini kini dikenali sebagai krisis Sputnik.

Lyndon B. Johnson, Timbalan Presiden kepada Presiden John F. Kennedy menggambarkan motivasi bagi usaha Amerika ini sebagai berikut:

Di mata dunia, pertama di angkasa bererti pertama, itu saja; kedua di angkasa adalah kedua dalam semua perkara.1

Penduduk awam Amerika, pada mulanya patah semangat dan takut dengan Sputnik, menjadi tertawan dengan projek Amerika yang berikutnya. Pelajar sekolah mengikuti pelancaran berturut-turut, dan pembinaan roket replika menjadi hobi popular. Presiden Kennedy memberikan ucapan yang menggalakkan orang ramai menyokong program angkasa dan cuba menangani mereka yang meragui dan merasakan berjuta dolar lebih baik digunakan bagi membina stok persenjataan sedia ada yang terbukti, dan bagi membasmi kemiskinan.

Kira-kira empat bulan selepas Sputnik, AS melancarkan satelit pertamanya, Explorer I. Dalam tempoh itu, beberapa kegagalan pelancaran yang memalukan berlaku di Cape Canaveral. Pada 31 Januari 1958, Explorer I menjumpai lengkungan sinaran Van Allen. Sementara Soviet dapat gelaran "pertama", Explorer I terbukti sebagai satelit pertama yang melakukan fungsi yang berguna.

Komunikasi satelit

Satelit komunikasi pertama, Projek SCORE, dilancarkan pada 18 Disember 1958, menyampaikan perutusan hari Natal daripada Presiden Eisenhower kepada dunia. Contoh penting satelit komunikasi lain semasa (atau dihasilkan) oleh Perlumbaan Angkasa termasuk:

1962: Telstar: satelit komunikasi merentasi laut (transoceanic) percubaan pertama.
1972: Anik 1: satelit komunikasi dalam negara pertama (Kanada)
1974: WESTAR: satelit komunikasi dalam negara pertama (Amerika Syarikat)

AS melancarkan satelit geosegerak pertama, Syncom-2, on 26 Julai 1963. Kejayaan kelas ini ialah piring satelit biasa tidak lagi perlu menjejak orbit satelit, kerana orbit tersebut adalah orbit geopegun. Jadi orang biasa dapat menggunakan komunikasi satelit untuk penyiaran televisyen, selepas dipasang sekali.