Sultan Muhammad V
Sultan-Muhammad-V.png

Yang di-Pertuan Agong ke-XV
13 Disember 2016 - 6 Januari 2019
Pertabalan 24 April 2017
Negeri Kelantan
Pendahulu Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah
Pengganti Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Perdana Menteri Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak (2009-2018)
Tun Dr. Mahathir bin Mohamad (2018-kini)

Timbalan Yang di-Pertuan Agong ke-XIV
13 Disember 201112 Disember 2016
Negeri Kelantan
Pendahulu Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah
Pengganti Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

Sultan Kelantan ke-29
13 September 2010 – kini
Pendahulu Sultan Ismail Petra
Pewaris takhta Tengku Muhammad Faiz Petra
Menteri Besar Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat (1990-2013)
Ustaz Dato' Bentara Kanan Haji Ahmad bin Yakob (2013-kini)

Tengku Muhammad Faris Petra ibni Tengku Ismail Petra
Keputeraan (1969-10-06) 6 Oktober 1969 (umur 49)
Istana Batu, Kota Bharu, Kelantan, Malaysia
Kemangkatan
Pemakaman
Tempat persemayaman Istana Negeri, Kubang Kerian, Kelantan
Ayahanda Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra
Bonda Tengku Anis binti Tengku Abdul Hamid
Isteri/Tengku Ampuan Tengku Zubaidah Binti Tengku Norudin (k. 2004; c. 2007)
Rihana Oxana Gorbatenko (k. 2018)
Putera-Puteri
Kerabat Diraja Kelantan
Lambang peribadi Sultan Kelantan.png

KDYMM Sultan Muhammad V, Sultan Kelantan

Sultan Muhammad V (diputerakan pada 6 Oktober 1969) ialah Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-15 dan Sultan Kelantan ke-29 yang dimasyhurkan pada 13 September 2010[1] bersamaan dengan 4 Syawal 1431 Hijrah. Sebelum ini baginda merupakan Tengku Mahkota Kelantan dan bergelar YTM Tengku Muhammad Faris Petra ibni Sultan lsmail Petra, merupakan putera sulung Sultan Kelantan ke-28, Sultan Ismail Petra dan Tengku Anis. Baginda mempunyai 3 orang adinda iaitu Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra, Tengku Muhammad Fakhry Petra, dan Tengku Amalin A’ishah Putri.

Kehidupan awal

Diputerakan sebagai Tengku Muhammad Faris Petra ibni Tengku Ismail Petra di Istana Batu, Kota Bharu, Kelantan pada 6 Oktober 1969. Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail (1) Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran Baginda di Alice Smith School Kuala Lumpur. Baginda telah berangkat ke England bagi menyambung pelajaran di Oakham School Ruthland sehingga tahun 1989. Seterusnya Baginda melanjutkan pengajian ke Kolej St Cross, Oxford dan Pusat Oxford untuk Pengajian Islam untuk kajian diplomatik. Baginda menamatkan pengajian pada tahun 1991.

Kerjaya

Baginda juga turut melibatkan diri dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan dan juga aktif berperanan dalam organisasi berkaitan dengan keselamatan dan ketenteraan. Baginda telah dilantik sebagai Komander 506 Askar Wataniah berpangkat Brigedier Jeneral (Kehormat).

Pewaris takhta

Tengku Mahkota Kelantan

Yang Amat Mulia Tengku Muhammad Faris Petra telah ditakhtakan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada ulang tahun keputeraan Baginda yang ke-16 iaitu pada 6 Oktober 1985.

Pemangku Raja Kelantan

Pada 24 Mei 2009, baginda dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan, setelah ayahanda baginda Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra mendapat rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Pemerintahan

Sultan Kelantan

Pada 13 September 2010,[2] baginda telah diisytiharkan sebagai Sultan Kelantan ke-29, mengikut Perkara 29A Perlembagaan Negeri yang menyatakan bahawa Sultan tidak boleh lagi menjadi raja jika baginda tidak berdaya maju memerintah selama tempoh lebih daripada satu tahun.[3] Baginda mengambil nama Sultan Muhammad V.[4] Walau bagaimanapun, ayahanda baginda, Sultan Ismail Petra telah mengemukakan petisyen kepada Mahkamah Persekutuan untuk mengisytiharkan pelantikannya tidak mengikut Perlembagaan.[5] Sultan Ismail Petra sedang sembuh daripada strok yang dialaminya pada tahun 2009.[6]

Sultan Muhammad V telah menghadiri Mesyuarat ke-222 Majlis Raja-Raja buat kali pertamanya sebagai ahli penuh pada bulan Oktober 2010. Ini menandakan pengiktirafan kesertaan sebagai Sultan oleh raja-raja lain.[7]

Timbalan Yang di-Pertuan Agong

Pada tanggal 13 Disember 2011, baginda telah dilantik memegang jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Malaysia. Dalam pada itu Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, Sultan Kedah pula ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-14. Istiadat mengangkat sumpah jawatan dijalankan di Istana Negara Kuala Lumpur.[8]

Yang di-Pertuan Agong

Pada 14 Oktober 2016, Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-243 (Khas) di Istana Negara telah memilih baginda untuk dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-15 selepas tamatnya penggal Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah memegang tampuk negara. Pemasyhuran itu berkuat kuasa 13 Disember 2016 untuk tempoh lima tahun.[9]

Pada 24 April 2017, baginda telah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-15 dalam upacara penuh adat istiadat yang diadakan di Istana Negara, Jalan Duta, Kuala Lumpur. Pada usia 47, baginda adalah Yang di-Pertuan Agong termuda keempat yang ditabalkan selepas Tuanku Syed Putra dari Perlis, Tuanku Mizan Zainal Abidin dari Terengganu dan Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dari Kedah.[10]

Pada 2 November 2018, pihak Istana Negara memaklumkan bahawa baginda beristirahat menjalani rawatan sehingga 31 Disember 2018. Maka, Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, mengambil alih tugas baginda sebagai Pemangku selaras dengan Perkara 33 dalam Perlembagaan Malaysia sepanjang ketiadaan baginda.[11]

Pada 6 Januari 2019, baginda telah turun takhta kerajaan persekutuan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang ke-15 dan yang menjadikan baginda yang pertama untuk turun takhta kerajaan persekutuan dalam sejarah negara Malaysia.[12][13][14][15]

Terasul, gelaran dan lambang

Gelaran hormat bagi
Sultan Muhammad V
Coat of arms of Kelantan.svg
Gaya panggilan Kebawah Duli Yang Maha Mulia
Gaya pertuturan Kebawah Duli Tuanku
Gaya pilihan Tuanku
  • 6 Oktober 1969 - 30 Mac 1979: (Yang Amat Mulia) Tengku Muhammad Faris Petra ibni Tengku Ismail Petra
  • 30 Mac 1979 - 6 Oktober 1985: (Yang Amat Mulia) Tengku Muhammad Faris Petra ibni Sultan Ismail Petra
  • 6 Oktober 1985 - 25 Mei 2009: (Yang Teramat Mulia) Tengku Muhammad Faris Petra ibni Sultan Ismail Petra, Tengku Mahkota Kelantan
  • 25 Mei 2009 - 13 September 2010: (Yang Maha Mulia) Tengku Muhammad Faris Petra ibni Sultan Ismail Petra, Pemangku Raja Kelantan
  • 13 September 2010 - 12 Disember 2016: (Kebawah Duli Yang Maha Mulia) Sultan Muhammad V, Sultan Kelantan
  • 13 Disember 2016 - 6 Januari 2019: (Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda) Sultan Muhammad V, Yang di-Pertuan Agong XV
  • 6 Januari 2019 - kini: (Kebawah Duli Yang Maha Mulia) Sultan Muhammad V, Sultan Kelantan

Gelaran penuh baginda ialah: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V, D.K., D.K.M., D.M.N., D.K. (Selangor), D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Johor), D.K. (Perak), D.K. (Perlis), D.K. (Kedah), D.K. (Terengganu), S.P.M.K., S.J.M.K., S.P.K.K., S.P.S.K., S.P.J.K., Sultan Kelantan

Keturunan